April 13, 2009

Verifikasi dan Alat Ukur Kejayaan

Posted in Pengurusan at 9:40 pm by kamilan

1). Khutbah Jumaat kelmarin membincangkan mengenai pengurusan masa. Perlunya mengambil peluang apabila terdapat kelapangan masa. Benarlah kata-kata dalam poskad yang pernah dibeli, Masa depanmu lebih bergantung kepada apa yang kau lakukan pada waktu rehatmu daripada waktu bekerjamu.” Dalam khutbah tersebut juga menyatakan, terdapat juga di hari tua yang merasa sangat sedih kerana semasa muda tidak membaca, mengkaji dan mendalami ilmu makrifat. Allah SWT telah menekankan kepentingan penjagaan masa di dalam al-Quraan seperti di surah al-Asr’ dan sebagainya. Begitu juga Rasulullah SAW telah banyak menasihati umatnya di dalam hadith-hadithnya berkenaan dengan masa.

2). Pengajaran di akhir bulan Mac yang lalu adalah perlunya sentiasa melakukan verifikasi. Sebaik manapun kerja yang telah dilakukan selepas disemak oleh orang lain akan ada kekurangan dan kesilapan yang boleh diperbaiki.

3). Pada awal bulan April 2009, negara telah menyaksikan perlantikan Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6. Manakala, Timbalan Perdana Menteri pula adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin juga merangkap Menteri Pelajaran yang baru.

4). Jika, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri Malaysia ke-5) yang juga dikenali sebagai Pak Lah menggunakan “Kad Laporan Prestasi” sebagai alat mengukur prestasi.

5). Perdana Menteri yang baru pula menjadikan “Petunjuk Prestasi Utama” (Key Performance Indicators, KPI) sebagai alat untuk menilai dan memantau prestasi anggota Kabinet dan pegawai tinggi sektor awam setiap setengah tahun. KPI tersebut perlu disediakan dalam tempoh 30 hari berkuat kuasa pada 10 April 2009. Menurut Perdana Menteri yang baru, “Kita harus memahami bahawa era kerajaan yang bertindak mengawal secara keterlaluan dan mengamalkan sikap ‘kerajaan lebih mengetahui’ (government knows best) sudah berlalu.” (Utusan Malaysia, Jumaat 10 April 2009).

6). Manakala, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat akan menilai menteri dan timbalan menterinya juga menggunakan KPI tetapi setiap 3 bulan (Utusan Malaysia, 12 April 2009). Menurutnya lagi, mekanisme pemantauan akan dilakukan dengan mengadakan garispanduan dan jawatankuasa serta panel penasihat yang dianggotai oleh pelbagai pihak berpengalaman termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin veteran MCA.

7). Berbalik semula mengenai “Kad Laporan Prestasi”, ianya telah diubahsuai kepada “Sistem Kad Prestasi (Balanced Scorecard)” untuk menjadi asas pentadbiran kerajaan negeri Selangor sebelum Pilihan Raya ke-12 (PRU-12).

8). Penggunaan KPI adalah tidak asing dan telah diguna pakai oleh sektor korporat di merata dunia bagi mengukur prestasi firma dan sekali gus corak kepimpinan ketua pegawai eksekutif (CEO) serta pengurusan kanannya.

9). Penggunaan beberapa KPI yang terbaik dapat membantu usaha yang hanya dilakukan sebanyak 20% tetapi berupaya memberi kesan pulangan sebanyak 80% daripada keseluruhan keuntungan organisasi (konsep Pareto 20/80).

Sekian dulu, 13 April 2009 (17 Rabiulakhir 1430).

RUJUKAN:

Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam. PKPA Bil. 2 tahun 2005. Garispanduan bagi mewujudkan Petunjuk-petunjuk Utama atau Key Performance Indicators (KPI) dan melaksanakan pengukuran prestasi di Agensi Kerajaan.
http://www.mampu.gov.my/mampu/pdf/pkpa022005.pdf

Sistem Kad Prestasi (Balanced Scorecard) Kerajaan Negeri Selangor. Pelaksanaan Perintis di Pejabat Daerah & Tanah (PDT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
http://www.oraisconsult.com/Selangor%20SS_Speech.pdf

Kad Laporan Kemajuan Dato’ Saifuddin Abdullah Genap 6 Bulan Sebagai Ahli Parlimen Temerloh (8 Mac 2008 – 8 September 2008).
www.saifuddinabdullah.com.my/laporan_6_bulan.doc

==================================

ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 10/04/2009

Prestasi menteri dipantau

PUTRAJAYA 9 April – Prestasi para menteri, timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam akan dinilai menggunakan pendekatan Petunjuk Pretasi Utama (KPI) setiap enam bulan sekali.

Pendekatan baru dalam pentadbiran kerajaan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya sebelum mengumumkan senarai barisan Kabinet baru di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, KPI akan menekankan aspek impak, hasil dan penyampaian perkhidmatan awam yang berbaloi dan akan dipantau oleh sebuah unit baru yang dipimpin seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Petunjuk itu akan menekankan impak bukannya input, hasil bukannya output dan memastikan perkhidmatan awam yang berbaloi,” katanya.

Menurut Najib, pengenalan KPI itu yang turut mencerminkan keutamaan strategik negara akan menjadi tanda kepada pendekatan baru pentadbiran kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab serta mendahulukan rakyat.

Tambahnya, bagi merealisasikan perkara itu, para menteri dan pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam akan dipertanggungjawabkan terhadap pencapaian masing-masing bersandarkan petunjuk prestasi tersebut.

“Sementara itu, setiap timbalan menteri berjumlah 40 orang semuanya akan diberi ruang tugas yang khusus.

“Saya akan mengarahkan setiap menteri untuk menyediakan KPI yang jelas merangkumi perincian tanggungjawab berkaitan tugas mereka serta timbalan masing-masing dalam masa 30 hari dari sekarang,” katanya.

Tambah Najib, dengan dibantu menteri yang berkenaan, beliau akan memantau pengurusan KPI agar ia berjalan lancar.

“Seterusnya untuk makluman semua, saya akan terlibat secara peribadi dan langsung untuk mengkaji prestasi semua menteri pada setiap enam bulan,” katanya.

Kata Najib, jika prestasi didapati tidak memenuhi piawaian, beliau dan menteri berkenaan serta penjawat awam berkaitan akan merungkaikan sebarang halangan yang menyekat prestasi mereka.

“Sememangnya pun inilah pendekatan saya sejak dulu lagi dalam mencapai transformasi melalui kepimpinan yang berasaskan prestasi,” katanya. STOP.

=====================================

Rencana:

http://www.bharian.com.my/klikkhas/pilihanraya/Berita/Rencana/20080213141210/Article/indexrencana_html

Politik bakti tingkat integriti wakil rakyat
Oleh Saifuddin Abdullah

DALAM kehangatan bahang Pilihan Raya Umum Ke-12, elok kita merenung perkara sebenar diinginkan rakyat (bukannya yang diinginkan calon wakil rakyat) daripada hasil pilihan raya.

Adakah rakyat inginkan ahli politik mengamalkan ‘politik bakti’, iaitu yang secara konsisten berkhidmat kepada rakyat selepas terpilih atau sekadar mengamalkan `politik undi’ saja, iaitu khidmatnya sukar dilihat selepas terpilih, tetapi akan rajin semula apabila pilihan raya berikutnya menjelang tiba?

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah menyatakan bahawa rakyat hanya meletakkan 40 peratus daripada penilaiannya kepada parti, sedangkan 60 peratus lagi diletakkan pada personaliti calon yang bertanding. Satu kriteria digunakan rakyat dalam membuat penilaian itu mungkin lebih berpihak kepada calon berpotensi mengamalkan politik bakti daripada yang mengamalkan politik undi.

Tetapi, Perdana Menteri tidak menyentuh soal keperibadian ahli politik hanya ketika menjelang pilihan raya. Ini bukan gimik politik. Sebaliknya, beliau membicarakan perkara ini sejak dulu lagi. Kerana itu, contohnya, sebaik saja menjadi Perdana Menteri, beliau menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) bertujuan meningkatkan integriti politik.

Terdahulu, kolum ini membincangkan persoalan `politik ilmu’ dan bukannya `politik ampu’ serta `politik hikmah’ dan bukan `politik fitnah’. `Politik bakti’ dan bukannya `politik undi’ yang dibincangkan kali ini melengkapkan trilogi yang membentuk keperibadian ahli politik berintegriti politiknya.

Persoalan ini timbul kerana semangat bakti sukarela kepada parti dan ibu pertiwi semakin hari semakin sepi. Dalam hal ini, kita difahamkan bagaimana ahli politik dulu membabitkan diri dalam politik untuk berbakti kepada bangsanya. Tetapi, hari ini, kita melihat lebih ramai berpolitik untuk mendapatkan tempat menerusi undi.

Ahli politik lampau menggunakan undi untuk membolehkannya berbakti.

Kempen untuk mendapatkan undi tidak seberapa. Tetapi, selepas mendapat undi, baktinya hebat.

Malangnya, ramai ahli politik hari ini menggunakan `bakti sementara’, iaitu satu jenama baru untuk berkempen bagi mendapatkan undi. Lihatlah paradoknya: yang satu menggunakan undi untuk berbakti, manakala satu lagi menggunakan bakti sementara untuk mendapatkan undi.

Politik undi memberi ruang kepada pendapat bahawa wang yang dihabiskan untuk mendapatkan kerusi sama seperti pelaburan untuk masa depan. Sebab itu, ada beranggapan bahawa jawatan yang mereka pegang itu membolehkan mereka mencari keuntungan daripada pelaburan dibuat.

Sekiranya ini berleluasa, maka kita sebenarnya menggalakkan politik wang untuk berterusan bukan saja menjadi masalah dalam parti, malah juga merosakkan sistem kerajaan. Keadaan ini adalah satu putaran syaitan yang ganas – “wang diguna untuk mendapatkan kuasa.” Kuasa digunakan untuk mendapatkan wang dan lebih banyak wang digunakan untuk mendapatkan lebih banyak kuasa, lebih banyak kuasa digunakan untuk mendapatkan lebih banyak wang…”

Umum mengetahui Pak Lah bersih daripada politik wang dan bertekad membersihkan Umno daripada gejala ini. Tindakan Umno di bawah kepemimpinannya menghukum pengamal politik wang, termasuk seorang Naib Presidennya, adalah testimoni ketegasannya.

Di samping itu, ahli politik perlu ikhlas berbakti dengan tulus kepada rakyat. Hanya dengan keikhlasan berbakti, barulah ahli politik akan dapat membantu usaha menegakkan integriti politik. Namun, politik bakti tidak terhenti setakat keikhlasan. Ia juga membabitkan ‘politik berbuat’ dan tidak hanya `politik bercakap’.

Politik undi adalah politik bercakap, iaitu bercakap mengenai ideologi, gagasan, perjuangan, manifesto dan kata-kata. Ini kepandaian parti pembangkang. Tetapi sebaliknya, politik bakti adalah politik dibuat, iaitu menterjemahkan ideologi menjadi dasar, gagasan menjadi program, perjuangan menjadi strategi, manifesto menjadi realiti dan kata menjadi kota. Ini kelebihan parti kerajaan hari ini.

Dalam kerangka sistem berkerajaan hari ini, walaupun wujud pemisahan di antara fungsi parti dan kerajaan, tetapi parti tidak boleh lagi hanya bercakap semata-mata. Kalau bercakap pun, tidak boleh lagi bercakap kosong. Cakap perlu ada isi. Bukan sekadar isi biasa saja, malah isi bernas.

Lebih daripada itu, pengharapan rakyat hari ini ialah supaya parti juga berbuat sesuatu, iaitu dengan melaksanakan program konkrit tertentu.

Rakyat hari ini tidak lagi puas dengan parti hanya menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan.

Bagi ahli politik yang mengamalkan politik undi, program anjurannya mungkin dapat mengumpulkan jumlah kehadiran yang ramai, tetapi kesannya mungkin tidak seberapa. Rakyat sudah mula dapat menilai keberkesanan sesebuah program, iaitu tidak lebih daripada `touch & go’, sekadar berjumpa-jumpa saja, dan yang mana benar-benar bermanfaat kepadanya.

Bagaimanakah cara untuk mengukur politik bakti? Bagi wakil rakyat sekarang, adakah ukurannya hanya berasaskan apa dilakukannya sejak terpilih? Dalam hal ini, selepas Pilihan Raya Umum Ke-11 lalu, Pak Lah sudah melaksanakan misalnya, Kad Laporan dan Penilaian Prestasi Ahli Parlimen Kerajaan.

Kad prestasi ini berdasarkan 10 tugas ditetapkan dalam Garis Panduan Tugas-Tugas Rasmi dan Tanggungjawab Ahli Parlimen, iaitu menghadiri Sidang Dewan; mengemukakan pertanyaan lisan/bertulis dalam Sidang Dewan; mengambil bahagian dalam perbahasan Dewan; lawatan/pertemuan dengan rakyat; perbincangan dengan pemimpin persatuan/pertubuhan; merancang dan memantau projek/aktiviti untuk rakyat; menghadiri mesyuarat jawatankuasa di mana Ahli Parlimen kerajaan dilantik sebagai pengerusi/ahli; kerjasama dengan agensi kerajaan; aduan/pertanyaan/permintaan bantuan yang diterima dan perisytiharan harta.

Bagaimana pula cara untuk mengukur politik bakti mereka yang bukan wakil rakyat sekarang?

Adakah ia dikira daripada rekod baktinya dalam parti, pertubuhan belia, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), jabatan/agensi kerajaan atau perniagaan tempat kerjanya, kerja sukarela, penulisan dan idea diketengahkannya?

Adakah ia dikira daripada kesetiaannya kepada parti? Contohnya, adakah diambil kira kesetiaannya untuk terus bekerja memastikan kemenangan partinya dalam pilihan raya umum lalu, walaupun tidak terpilih untuk bertanding? Bagaimana pula dengan mereka yang merajuk dan tidak membantu parti kerana dirinya atau calon yang dilobinya tidak terpilih untuk bertanding?

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002).

=========================================

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: