December 28, 2008

Perancangan Strategik Sempena Maal Hijrah 1430

Posted in Pengurusan at 7:14 am by kamilan

1). Hari ini adalah hari terakhir untuk tahun hijrah 1429. Kemudian 3 hari lagi untuk menutup tirai tahun masihi 2008.

2). Insya-Allah jika panjang umur akan bertemu hari terakhir tahun hijrah 1430 pada bulan masihi yang sama. Cuma dengan jarak hari lebih kurang 10 hari berbanding tahun masihi 2009.

3). Memandangkan aktiviti seharian dikira mengikut tahun masihi. Maka perbezaan jumlah hari antara tahun hijrah dan masihi menunjukkan terdapatnya bonus panjang umur. Pada tahun 2008 mendapat bonus 3 hari berbanding tahun hijrah 1429. Manakala pada tahun masihi 2009 mendapat bonus usia melebihi 10 hari berbanding tahun hijrah 1430. Cuma persoalannya ialah sama ada perkiraan keuntungan umur itu merupakan sebenar-benar laba ataupun kelebihan hari itu memang tidak disedari.

4). Semalam sempat membaca tulisan Ghafani Awang Teh dalam ruangan agama di Berita Harian (Sabtu 27 Disember 2008), artikelnya yang bertajuk “Kejayaan hijrah hasil perancangan strategik: Program Madinah bukti kebijaksanaan Rasulullah bentuk tamadun ummah”. Antara fakta yang agak menarik yang boleh dikongsi ialah keperluan membuat perancangan strategik, menganalisa persekitaran dan pelan tindakan untuk masa depan terutama dalam membina masa depan keluarga yang berkualiti.

5). Beliau juga telah mencatat maksud perancangan strategik berdasarkan Stone dan Wankel dalam buku Pengurusan (terjemahan Ibrahim Yaakub, 1986) ialah proses perancangan jangka panjang bagi sesuatu organisasi membentuk wawasan, dasar, hala tuju, membuat keputusan dan pelan tindakan untuk mencapai matlamat tertentu.

6). Aspek penting perancangan strategik ialah membuat analisis persekitaran yang berkait rapat dengan penilaian mengenai kekuatan (strengths), kelemahan (weaknesses), peluang (opportunities) dan cabaran (threats) dalam usaha mencapai matlamat ditetapkan. Kaedah ini juga dikenali sebagai analisa SWOT.

7). Islam adalah agama Allah dan bersifat sejagat merupakan suatu kekuatan. Bagaimanapun, kelemahan kelihatan nyata di pihak Rasulullah SAW pada masa itu ialah tidak memiliki kekuatan politik dan tentera. Namun, kesediaan penduduk Madinah menerima Islam membuka peluang besar kepada Rasulullah SAW untuk memulakan hijrah. Ancaman hanyalah datangnya daripada puak Yahudi dan Musyrikin di luar Makkah pada masa itu tidak menjangkakan Islam menjadi agama yang bertenaga membina tamadun manusia.

8). Menurutnya, pencapaian besar Rasulullah SAW dalam pelaksanaan hijrah dan mengubah landskap akidah, undang-undang dan akhlak masyarakat jahiliah adalah kerana kecemerlangan perancangan strategik.

9). Pelan tindakan yang telah dilakukan adalah berhijrah ke Madinah. Baginda berjaya bekerjasama dengan Ali, Abu Bakar as-Siddiq, sahabat, pengembala, orang kampung dan pemimpin masyarakat Madinah menjayakan hijrah.

10). Sebaik saja tiba di Madinah, Rasulullah SAW terus membina Masjid Quba’. Mempersaudarakan orang Muhajirin dan Ansar. Membentuk Piagam Madinah. Mewujudkan perdamaian dan keamanan dengan puak Yahudi dan Musyrikin Madinah menerusi Perjanjian Hudaibiyah.

11). Begitulah contoh perancangan strategik yang telah ditunjukkan oleh Rasullullah SAW yang boleh dijadikan iktibar dalam perjuangan kehidupan. 

12). Sesungguhnya hanya taubat yang boleh memadam kesilapan sepanjang tahun hijrah yang lalu. Ianya selaras dengan doa akhir tahun. “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala Puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhannad SAW dan keluarga Baginda dan sekelian sahabatnya. Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku banyak melakukan larangan Engkau, tetapi aku belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau menangguhkan azab Engkau sudah ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan aku supaya bertaubat daripada kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku bertaubat dan memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Apa aku lakukan pada tahun ini Engkau redai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohon daripada Engkau, ya Allah, ya Karim, ya Zaljala liwal ikram, terimalah permohonan ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku, wahai Tuhan Maha Mulia. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekelian sahabatnya. Segala Puji bagi Allah memelihara dan mentadbir sekalian alam. ”

13). Semoga sepanjang tahun mendatang sentiasa mendapat bimbingan dan petunjuk daripada Allah SWT. Doa awal tahun: ” Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala Puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekalian para sahabatnya. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi, demi kelebihan Engkau yang Maha Agung dan kemurahan Engkau yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon kepada Engkau perlindungan daripada syaitan, konconya, tenteranya dan penolongnya. Dan aku memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara tidak berfaedah daripada mendekatkan diri kepada Engkau. Wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. Wahai Tuhan yang lebih penyayang daripada segala yang penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda dan sekalian para sahabatnya. Segala puji bagi Allah yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. ”

Catatan: Doa’ diambil daripada Info Maal Hijrah, Berita Harian, Sabtu 27 Disember 2008.

Sekian. 28 Disember 2008 (30 Zulhijah 1429).

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: