June 16, 2008

Buku “Penulisan Berkesan: Media Cetak, Elektronik dan Web”

Posted in Buku tagged , , , at 5:16 am by kamilan

Salin semula daripada akhbar Utusan Malaysia keluaran Isnin 26 Mei 2008. Tajuk asal artikel ialah “Pembikinan wartawan“.

Judul Buku: Penulisan Berkesan, Media Cetak, Elektronik dan Web
Penulis: Chamil Wariya
Penerbit: Malaysian Press Institute
ISBN: 978-983-42919-0
Pengulas: MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

DALAM dunia kewartawanan dan penulisan, nama Datuk Chamil Wariya barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau bukan sahaja terbabit dalam bidang penulisan media cetak dan elektronik di negara ini, malah pernah berkhidmat sebagai wartawan dan penerbit radio dengan Perkhidmatan Luar Negeri British Broadcasting Corporation (BBC) di London selama enam tahun.

Memulakan kerjayanya sebagai wartawan di Utusan Melayu pada 1971, beliau terus mengembangkan bakatnya sehingga berjaya meraih pelbagai anugerah serta gelaran. Kini beliau merupakan individu penting dalam Institut Akhbar Malaysia (Malaysian Press Institute, MPI) apabila dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Dengan pengalamannya dalam bidang kewartawanan selama kira-kira 37 tahun, Chamil ibarat perpustakaan kepada wartawan dan penulis baru yang berhasrat membina kerjaya dalam bidang ini.

Justeru, apabila beliau buat pertama kalinya menghasilkan sebuah buku khusus mengenai dunia kewartawanan, ia sangat dinanti-nantikan.

Tidak seperti buku-buku beliau yang lebih banyak membincangkan isu-isu politik tempatan dan perhubungan antarabangsa, buku ini sebaliknya lebih kepada catatan pengalaman dan kemahiran beliau sebagai seorang wartawan berbakat sekali gus menjadi khazanah ilmu paling berharga dan sangat berguna kepada penulis muda di luar sana.

Buku Penulisan Berkesan, Media Cetak, Elektronik dan Web ini jika boleh dirumuskan secara ringkas adalah himpunan rujukan dan panduan praktikal penulisan dalam kewartawanan cetak, elektronik dan web.

Namun seperti yang dijelaskan oleh Chamil, biarpun dunia telah melalui tiga gelombang kewartawanan yang berbeza, tetapi asas kewartawanan itu tidak pernah berubah. Lalu apakah sebenarnya yang dikatakan dengan asas kewartawanan itu dan bagaimanakah dalam perbezaan tiga medium tersebut, penulisan seseorang masih lagi mampu memenuhi kehendak khalayak pembaca, pendengar dan penonton?

Jawapan kepada persoalan itulah yang akan digali pembaca di dalam keseluruhan buku ini menerusi pembahagian bab yang khusus untuk setiap media.

Pastinya sebelum memulakan sebarang penulisan baik untuk media cetak, elektronik mahupun siber, seseorang penulis memerlukan subjek untuk diceritakan. Dalam konteks kewartawanan, subjek dalam penulisan adalah berbentuk maklumat yang ingin dikongsi dengan audiens.

Sumber maklumat untuk penulisan boleh diperoleh antaranya menerusi wawancara, pencarian sendiri atau maklumat yang datang bergolek.

Bagi seorang wartawan, sesi soal jawab merupakan sesi wajib dalam mendapatkan maklumat dan bagaimana maklumat itu diproses dengan baik akan menjadi penentu kepada sejauh mana sesebuah penulisan bakal memberi impak dan meninggalkan kesan kepada audiens.

Bagi penulisan akhbar, kemahiran asas yang perlu ada dalam diri seseorang wartawan adalah bagaimana untuk menentukan maklumat yang diperoleh atau disogok mempunyai nilai berita. Sebab itu, mana-mana wartawan pastinya sangat faham dengan perumpamaan ‘anjing menggigit manusia bukan berita, tetapi manusia menggigit anjing itu berita’ yang diperturunkan kepada mereka sejak lama.

Dalam sebarang penulisan berita, pendahuluan (intro) memainkan peranan yang sangat penting kerana ia merupakan faktor yang menarik pembaca untuk terus membaca laporan tersebut. Pentingnya pendahuluan itu diumpamakan oleh Chamil seperti rupa paras seseorang dan dalam penulisan berita, terdapat beberapa kaedah bagaimana untuk mendapatkan rupa paras pendahuluan yang baik seperti intro tradisional, intro satu dan tiga butiran dan intro khusus atau umum.

Intro yang baik bagaimanapun tidak boleh berdiri dengan sendiri tanpa maklumat lanjut serta penutup yang baik dan kesemua panduan itu atau tepatnya rahsia untuk menghasilkan laporan berita yang baik dijelaskan dengan terperinci berserta contohnya di dalam buku ini.

Berbeza dengan penulisan rencana, ia mengupas isu-isu yang dibangkitkan dalam berita secara tersirat di sebalik yang tersurat dengan lebih mendalam. Bentuk penulisan rencana juga adalah lebih bebas, naratif dan lebih lunak serta ringan berbanding penulisan berita.

Ia sarat dengan komentar dan pandangan penulis serta pakar-pakar yang dijadikan rujukan dalam membincangkan sesuatu subjek penulisan. Chamil dalam buku ini biarpun tidak mengkategorikan rencana secara khusus, namun membahagikannya kepada beberapa kumpulan seperti rencana profil, latar belakang, pendapat, reviu atau ulasan, produk dan manusiawi atau human interest serta advertorial.

Rencana yang berkesan adalah rencana yang diyakini dan dipercayai serta disimpan dan dijadikan rujukan pada masa depan oleh pembaca.

Seperti juga penulisan berita, intro rencana turut memainkan peranan penting dalam menarik pembaca dan sebagai panduan, Chamil berkongsi lima kaedah bagaimana untuk memulakan rencana dengan berkesan seterusnya menghasilkan penulisan yang akan diingati oleh pembaca.

Tidak seperti media cetak, penulisan berita media elektronik biarpun terbina pada asas kewartawanan yang sama namun jauh berbeza dari segi elemen dan proses pembikinannya. Penulisan berita media elektronik mempunyai medium penyampai iaitu pembaca berita untuk menyalurkan maklumat yang ditulis kepada orang ramai.

Dengan bantuan grafik, visual dan audio, penulisan berita media elektronik menjadi lebih menarik dan mudah mendapat perhatian audiens.

Namun, cabarannya juga lebih tinggi kerana ia berhubung secara langsung dengan penonton dan dalam sela masa yang agak singkat, penulisan berita perlu disusun dengan lebih efektif bagi memastikan setiap maklumat disampaikan dengan tepat dan padat.

Begitu juga dengan penulisan berita radio yang biarpun bentuknya hampir sama dengan berita akhbar, namun ayatnya lebih mudah dan jelas. Ramai yang beranggapan bahawa berita radio dipetik sepenuhnya dan dibacakan semula daripada akhbar, sedangkan hakikatnya, berita radio juga mempunyai modifikasi struktur ayat yang tersendiri termasuk laporan terus dari tempat kejadian.

Peredaran zaman melahirkan satu lagi bentuk medium penulisan yang kini sangat berpengaruh dan semakin diminati iaitu penulisan atas talian Internet atau online. Dengan kelahiran medium penulisan ini, sesiapa sahaja boleh menjadi penulis dengan hanya mempunyai ruang penulisan sendiri iaitu laman sesawang yang biasa dirujuk sebagai blog.

Menariknya mengenai medium blog ini, seseorang penulis tidak hanya berkongsi apa sahaja bahan menerusi penulisan semata-mata, tetapi juga dapat memuatkan audio dan video serta pautan kepada sumber-sumber media lain.

Dengan kelebihan itu, medium penulisan online telah memainkan peranan kedua-dua media cetak dan elektronik sebelum ini dan dengan capaian yang sangat mudah kepada Internet hari ini, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila media online semakin menjadi pilihan dalam mendapatkan sumber maklumat.

Bagaimanapun dalam kebebasan melontarkan buah fikiran dan cetusan rasa menerusi penulisan, seorang penulis terikat dengan amalan dan etika kewartawanan yang selamanya memastikan dunia penulisan ini bermaruah dan dihormati.

Menyentuh hampir setiap keperluan dan isu yang berlegar dalam ruang kewartawanan, buku ini pastinya sesuai dijadikan panduan kepada mereka yang bercita-cita untuk menjadi wartawan serta di kalangan wartawan baru dan lama.

Malah, ia juga boleh diangkat sebagai satu bacaan umum yang menarik atau rujukan kepada pelajar dan pensyarah dalam bidang komunikasi di pusat pengajian tinggi. STOP.

Sekian. Kamilan, 16 Jun 2008 (12 Jamadilakhir 1429).

 

 

 

 

 

  

 

Advertisements

3 Comments »

  1. T.M.Shamsudin said,

    Saya berminat untuk mendapatkan senaskah buku”Penulisan Berkesan Media Cetak,Elektronik dan Web” karya Chamil Wariya ini. Bagaimana caranya. harganya ?.Boleh pengarang atau sesiapa menghubungi saya. T. Kasih

  2. T.M.Shamsudin said,

    Saya Berminat untuk mendapatkan buku: Penulisan Berkesan: Media Cetak,Elektronik dan Web. harga berapa?.
    penerbit/penjual bolehlah hubungi saya: 013-9831483…

    drp yang berminat.

  3. marsh09 said,

    saya pun berminat nak dptkn buku ini. camne?


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: