June 4, 2008

Buku “Agenda Mendesak Bangsa: Selamatkan Indonesia!”

Posted in Buku tagged at 5:27 am by kamilan

Tajuk asal artikel ialah “Sudut Amien Rais melihat bangsa Indonesia tersepit“. Salin semula daripada akhbar Utusan Malaysia, Isnin 19 Mei 2008.

Oleh ROOSFA HASHIM*

GENAP sepuluh tahun Orde Reformasi dan bersempena memperingati 100 tahun Kebangkitan Indonesia, Amien Rais minggu lalu melancarkan bukunya berjudul Agenda Mendesak Bangsa: Selamatkan Indonesia!

Buku ini menekankan lima pokok pemikiran beliau tentang keadaan bangsa Indonesia pada masa kini. Buku setebal 298 halaman ini diterbitkan oleh Mizan dan PPSK, Yogyakarta.

Amien memulakan kupasannya dengan menyentuh tentang gagasan atau pendekatan kepemimpinan alternatif atau transformatif. “Apa yang ada hingga 2009 biarlah karena mental inlander,” tegas Amien. Dengan itu, Amien menggariskan apa yang patut menjadi pegangan pemimpin Indonesia dalam menghadapi dekad mendatang yang lebih mencabar.

Perkara kedua yang ditekankan oleh Amien ialah pemimpin yang baru mesti memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap soal penyambungan kontrak kerja dan perkongsian dalam bidang berkaitan minyak dan gas dan bidang lain yang tidak berkaitan dengan komoditi tersebut.

Indonesia yang diketahui kaya dengan komoditi berasaskan minyak dan gas bagaimanapun telah gagal menguruskan kekayaan hasil bumi itu dengan sebaik-baiknya.

Ketiga, perlunya dibuat kajian menyeluruh ke atas undang-undang penanaman modal dalam bidang berkaitan minyak dan gas, tenaga elektrik, perairan dan pelayaran yang semuanya menurut Amien lebih banyak menguntungkan pihak asing. Pelabur asing juga perlu diuruskan dengan bijaksana agar kekayaan bumi Indonesia tidak dikaut dan dibawa keluar tanpa menguntungkan rakyat Indonesia.

Keempat, Amien menekankan perlunya Indonesia membentuk ekonomi yang memberi penekanan terhadap memajukan rakyat dan bukan hanya mengembangkan ekonomi konglomerat dan syarikat gergasi. Hal ini amat penting memandangkan jumlah besar penduduk Indonesia yang kebanyakannya berada di bawah paras kemiskinan.

Kelima, perlunya dibangunkan semula mental dan sikap bangsa Indonesia yang terlalu kuat bergantung kepada amalan rasuah. Amien menegaskan bahawa semua dasar yang ada kini perlu dinilai semula justeru sifatnya yang semakin kontra-produktif.

Dalam buku ini, Amien mengaku bahawa beliau menyampaikan ulasan, usul dan kritikan. Amien sedar bukunya ini akan dipandang sebagai kritik yang tajam, terutama oleh kerajaan pimpinan Susilo Bambang Yudhoyono.

“Saya sadar bahawa usulan kritis dalam risalah ini oleh sebahagian masyarakat, khususnya pemerintahan Yudhoyono, dianggap terlalu keras dan tajam,” tulis Amien dalam kata penghantarnya.

Bagi Amien, masalah besar Indonesia yang sentiasa bergejolak adalah mengapa bangsa Indonesia terus kekal miskin, terbelakang, dan tercicir dalam kepantasan kemajuan bangsa-bangsa lain.

Salah satu sebabnya menurut Amien adalah kerana sifat nasionalisme bangsa Indonesia yang sempit, yang hanya nampak bergelora pada penampilan luarnya.

Amien membuat analogi bangsa Indonesia sebagai rumah di pinggir jalan raya. Bangsa dan kerajaan Indonesia yang memiliki rumah ini memiliki obsesi aneh. Menurut Amien rumah itu selalu kelihatan cukup bersih, berkilat, dan tidak boleh berdebu. Kepada tuan rumah, penampilan rumah itu yang paling penting, hal-hal lain yang penting tidak dititikberatkan.

“Sehingga ketika perabotan rumah dicuri di depan mata si pemilik rumah, ia tidak begitu peduli. Bahkan ketika isteri dan anak-anaknya dibawa keluar oleh orang lain, si pemilik rumah tidak mengambil tindakan apa pun. Ia hanya bisa menonton, seolah tidak ada sesuatu yang dirisaukan,” demikian tulis mantan ketua umum Parti Amanat Nasional (PAN) ini.

Anologi Amien itu sebenarnya menyindir pemerintah Indonesia kerana kebanyakan masalah berpunca daripada penguasaan asing ke atas aset-aset nasional Indonesia. Banyak sumber bumi Indonesia yang dikuasai oleh negara kuasa besar. Apa yang terjadi ketika ini merupakan pengulangan sejarah tiga abad lalu, ketika Nusantara mulai dikuasai oleh VOC (Vereenigde Oost-Indische Compagnie), tulis Amien.

Menurut Amien lagi, ketika ini, pada dasarnya kekuatan-kekuatan pengkorporatan pada awal abad ke-21 tidak mudah, bahkan mustahil dengan mudah dapat memanipulasi kedaulatan ekonomi Indonesia, seandainya elit nasional tidak tunduk kepada kuasa asing. Masalahnya, ketika ini, ramai pemimpin Indonesia yang masih mewarisi mental inlander.

Amien memberi contoh kehadiran Presiden Amerika Syarikat George W Bush pada penghujung tahun 2006. Menurut Amien, ramai pemimpin bangsa Indonesia yang ‘ketakutan’ apabila mendapat khabar Presiden Bush akan singgah ke Indonesia.

“Penghormatan yang diberikan kepada Presiden Amerika Syarikat yang di negerinya sendiri sudah tidak popular itu sungguh berlebihan dan sekali gus agak memalukan. Tidak ada negara mana pun di dunia yang menyambut Presiden Bush seperti maharaja, kecuali Indonesia di masa kepemimpinan Susilo Bambang Yudhoyono. Seolah-olah Indonesia telah menjadi vasal atau negara protektorat AS,” tegas Amien.

Dalam buku itu, Amien memotret pelbagai permasalahan besar bangsa Indonesia, seperti hutang yang mencapai AS$148 juta, penduduk miskin yang menurut Biro Pusat Statistik mencapai 39.05 juta atau 109 juta orang mengikut versi Bank Dunia, 12 juta orang penganggur, 4.1 juta orang kanak-kanak yang kurang zat makanan.

Amien juga memotret kerosakan teruk infrastruktur jalan raya dan kemusnahan 72 peratus hutan Indonesia serta penanaman modal yang pro asing. Kebanyakan pembaca melihat liputan buku ini lengkap kerana isinya memaparkan permasalahan bangsa Indonesia secara menyeluruh serta mengkritik pelbagai dasar kerajaan masa lalu dan masa kini yang merugikan bangsa Indonesia.

Amien Rais mempersembahkan bukunya kali ini untuk angkatan muda dan mahasiswa Indonesia, buruh, tani, nelayan, pengamal media massa, pendidik dan anak bangsa. Sejajar dengan peringatan 10 Tahun Reformasi dan Seabad Kebangkitan Nasional, buku Amien itu menjadi sangat penting untuk ditelaah oleh bakal calon presiden pada masa akan datang.

*ROOSFA HASHIM, pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia.

[Sumber: Utusan Malaysia, Isnin 19 Mei 2008]

Sekian. Kamilan, 04 Jun 2008 (29 Jamadilawal 1429).

 

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: