May 25, 2008

Entah Bagaimana

Posted in Uncategorized tagged , , , at 5:40 am by kamilan

Entah bagaimana tiba-tiba sewaktu kanak-kanak, kami melihatnya membonceng sebuah basikal tua memasuki perkampungan mencari kehidupan. Di belakangnya sebuah raga untuk ayam dan telur. “Telo leh, telo leh,” seru si mata sepet kurus dan bergigi emas. “Telo leh, telo leh,” sorak kami mempersendakan. Dia hanya tersenyum. Kata orang, dia pendatang dari benua Cina dan berhijrah kerana kemiskinan.

Entah bagaimana tiba-tiba kami hilang dari perkampungan kerana memburu pelajaran dan pekerjaan. Kedainya di tepi sungai dulu gubuk dan remeh, kini membesar dan anak-anaknya kian ramai dan dewasa.

Entah bagaimana tiba-tiba sebuah kedai cantik dua tingkat bercat, sebuah lori, kereta dan motorsikal terpamer di situ. Pemiliknya yang miskin dahulu telah menjadi mendiang beberapa tahun lalu. Kini anak-anaknya kaya, berpelajaran dan bercucu.

Entah bagaimana tiba-tiba kami digigit kedengkolan. Memikirkan kehidupan warga persekelilingan. Dunianya masih seperti dahulu.

[Coretan ini disalin semula daripada buku “Negeri Tercantik. Kumpulan Sajak Nahmar Jamil.” Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur. 1986].

Kamilan, 25 Mei 2008 (19 Jamadilawal 1429).

1 Comment »

  1. khalil said,

    Bagus Tn Hj,
    Banyakkan lagi tulis kat blog ni… Setidak-tidaknya perkayakan bahasa kalau tidak perkayakan harta…


Leave a comment