May 18, 2008

Buku “Islam Melayu Komunis”

Posted in Buku tagged , , , at 6:19 am by kamilan

[Catatan yang bertajuk “Kisah menarik buku Islam Melayu Komunis” dalam ruangan “Mazlan Nordin* Menulis” ini disalin semula daripada akhbar Mingguan Malaysia keluaran Ahad, 11 Mei 2008].

ISLAM Melayu Komunis. Demikian tajuk sebuah buku kecil (112 muka) yang terselit dalam rak buku sebuah perpustakaan di Kuala Lumpur untuk pinjaman para pembaca. Pertanyaan segera timbul, bolehkah seseorang Islam (Melayu) menganut fahaman komunis yang tidak percaya kepada Tuhan? Kerana, tajuk tersebut mengandungi unsur-unsur yang “contradictory.

Buku terbitan Strategic Information Research Development (SIRD) dan kandungannya ialah wawancara dengan Abdullah C.D dan Rashid Maidin serta Abu Samah. Tidak ada kata-kata pendahuluan dan tidak dicatat siapa interviu mereka.

Seperti kerap disebut oleh bijak bistari, sejarah ditulis oleh mereka yang menang. Namun, menyusul kemudiannya ialah catatan oleh pihak-pihak lain yang terlibat dalam apa jua peristiwa sejarah. Demikian halnya dengan buku kecil itu.

Wawancara pertama ialah dengan Abdullah C.D dan beliau menjelaskan suatu hal bersabit namanya: “Nama lahir atau nama sebenar saya ialah Cik Dat. Tapi, selepas perang saya terlibat dalam gerakan buruh dan PKMM, kerana keperluan perjuangan, saya menggunakan Abdullah C.D.” Beliau lahir di Lambur Kiri, daerah Parit, Perak.

Beliau kemudian menuntut di Clifford School, Kuala Kangsar. Semasa darurat, menjadi pemimpin Rejimen Ke-10 di Pahang. Menjawab satu pertanyaan mengenai tokoh-tokoh revolusi Indonesia yang pernah dihubunginya dahulu, beliau menyebut nama-nama Sultan Jenain, Alimin, Muso dan Suparto.

Antara lain Abdullah menyebut tentang penubuhan PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) pada bulan Oktober 1945 dalam kongres di Ipoh. Bertanggungjawab mendirikannya ialah Mokhtaruddin Lasso, Dr. Burhanuddin, Boestamam dan Pak Sako.

Sebenarnya juga nama Mokhtaruddin Lasso pernah disebut oleh Boestamam dalam salah sebuah buku kenangan pengalamannya, iaitu mengenai Mokhtaruddin bertanya Dr. Burhanuddin: Apakah Tuhan ada? Dr. Burhanuddin menjawab “ya” secara positif, tetapi Mokhtaruddin tetap ragu-ragu lalu berkata: Kalau Tuhan boleh bikin terompah saya percaya.

Astagha… para pembaca Islam mengucap. Mokhtaruddin kemudian menghilangkan diri ke Indonesia dan tidak dipastikan apa yang berlaku kepada dirinya. Apakah sempat beliau bertaubat?

Menjawab beberapa pertanyaan lain Abdullah memberitahu mengenai PKM (Parti Komunis Malaya) “menganjurkan harus menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dalam politik ekonomi dan kebudayaan.”

Juga disebut oleh Abdullah bahawa PKM mengakui agama Islam “sebagai agama rasmi negara” dan PKM “menyokong sistem raja berperlembagaan.” Mengenai bahasa pula dijawab olehnya: “Tentang bahasa Melayu atau bahasa Malaysia, PKM menyokong penggunaannya secara meluas,” dan PKM “juga menyokong tanah simpanan (rizab) Melayu, menyokong kebudayaan Melayu sebagai bentuk utama kebudayaan negara dan lain-lain lagi.”

Berhijrah

Tokoh kedua yang diinterviu ialah Rashid Maidin yang menyertai Rundingan Baling pada 1955. Beliau anak Perak dan “datuk dan nenek saya berasal dari Rawa, Sumatera berhijrah ke Perak akhir abad ke-19.”

Selanjutnya disebut betapa ia “belajar bahasa Inggeris pada waktu malam dengan seorang mubaligh yang menyebar agama Kristian di kalangan Orang Asli.”

Rashid menceritakan pengalamannya ditangkap kira-kira sebulan selepas darurat diisytiharkan, iaitu pada Julai 1948, di Labu Kubung, Sungai Manik, Perak.”

Beliau bercerita mengenai mogok lapar yang dilancarkan bersama tahanan lain dan setelah tiga hari mogok, British mengalah. Para tahanan kemudian dibenarkan bermain badminton waktu malam serta membaca akhbar Straits Times. “Tapi akhbar Utusan Melayu tidak dibenarkan.”

Dalam pengalaman lain, Rashid berkenalan dengan seorang pengawal Melayu bernama Pak Mi. “Dia selalu bawa Utusan Melayu dan meminjamkannya kepada saya,” beliau menambah.

Wawancara ketiga ialah dengan Abu Samah bin Muhamad Kassim, dari Pahang, keturunan Bugis yang nenek moyangnya lari dari penjajahan Belanda di Sulawesi. Beliau menyebut pengalamannya dengan Cikgu Abdul Rahman Talib yang menjadi Menteri Pelajaran setelah merdeka.

Abu Samah bercerita betapa semasa belasan tahun ia membaca dan melanggan “akhbar-akhbar” terbitan KMM seperti Warta Jenaka dan Warta Ahad.” 

Juga disebut ialah pertemuan dengan Ibrahim Yaacob, pejuang sayap kiri kemerdekaan yang memimpin pasukan Malai Gyugun semasa pemerintahan tentera Jepun. Juga kisah Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Gerald Templer “tidur dalam motor bot khas di Sungai Pahang dengan dikawal oleh satu batalion askar kulit putih,” semasa melawat negeri Pahang.

Abu Samah juga menyebut mengenai dia mendirikan rumah tangga dengan Siti Norkiah Mahmud Baginda, Ketua Awas (Angkatan Wanita Sedar) Pahang sebelum Darurat. Menjawab pertanyaan lanjut beliau menjelaskan: “Dia adalah kakak kepada Osman Abadi, bekas pengarang Utusan Melayu dan juga seorang karyawan filem.”

Bagi beliau ialah kenangan mengenai “British gunakan askar-askar yang didatangkan dari England, Australia, Afrika, Punjab.”

Buku Islam Melayu Komunis terbitan 2005. Terbit pada 2003 ialah buku tulisan Chin Peng, Setiausaha Agung PKM, berjudul My Side of History. Pada 02 Disember 1989, perjanjian damai ditandatangani di Lee Gardens Hotel, Haadyai, Chin Peng kemudian berucap dalam bahasa Melayu. Buku itu berakhir dengan kata-kata dalam bahasa Inggeris, berbunyi: “The barter of views still exhilarates me. You can tell me I was wrong. You can tell me I failed. But I can tell also tell you how it was and how I tried,

Seperti diakui, sejarah bukan jalan lurus dan mendatar atau tanpa umbang-ambing. Pelbagai pihak melaksanakan peranan dengan agenda masing-masing. Buku In Pursuit of Mountain Rats (terbitan Cultured Lotus, Singapore) mengandungi statistik kematian pengganas, anggota-anggota polis biasa dan polis khas (special constables) dan askar-askar dari 1948 hingga 1960, antaranya polis 511 orang, polis khas 593, orang awam 2,473, pengganas 6,697. Perginya mereka menjadi ingatan kepada yang lain adanya.

*Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS. STOP.

[Sumber: Mingguan Malaysia. Ahad, 11 Mei 2008 (05 Jamadilawal 1429)].

Sekian. Kamilan, 18 Mei 2008 (12 Jamadilawal 1429).

 

Advertisements

3 Comments »

  1. hafiz said,

    saya telah membaca buku tersebut. amat menarik untuk dibaca dan harus perlu dibaca oleh setiap warga malaya. Agar smua tahu, tentang perjuangan gerakan kiri dalam menentang penjajah. Mereka adalah golongan yang di senyapkan. keberanian, pengorbanan mereka tidak harus diketepi. harus harus dimiliki!

  2. kamilan said,

    Saudara Hafiz, terima kasih kerana memberi maklumbalas mengejutkan minda yang sedang lena. Perjuangan mereka yang terdahulu boleh dijadikan pengajaran. Ideologi perjuangan mereka ketika itu tidaklah sesuai di masa kini. Bukannya mudah menjadi pejuang untuk mengisi kemerdekaan. Apatah lagi, perjuangan yang mendapat restu oleh Allah SWT.

  3. masri said,

    Di mana boleh saya mendapatkan buku ini?


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: