January 23, 2008

Otak mampu sembuh kerosakan akibat angin ahmar

Posted in Uncategorized tagged , , , at 5:10 am by kamilan

Oleh Mohamad Ikhsan (Berita Harian, 22 Disember 2008)
OTAK dan akal adalah alat bagi manusia untuk melakukan aktiviti belajar, berfikir, meneroka dan menyelidik mengenai persekitarannya sebagai persediaan bagi melaksanakan tugas hakiki untuk menyembah Allah SWT dan menjadi pengurus, pentadbir serta pemimpin (khalifah) di muka bumi dalam usaha mereka mendapatkan kebahagiaan dan keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat.
 
Otak manusia adalah sistem yang paling kompleks dan tercanggih di muka bumi. Ia mengandungi 100 bilion sel gentian neuron yang membina jaringan rumit sehingga keupayaan memprosesnya tidak terhad dan mempunyai kepelbagaian penggunaan yang terlalu hebat.
 
Keistimewaan ini menjadikan keupayaan otak jauh lebih hebat daripada komputer terbaik di dunia, sehingga kita tidak mungkin memahami sepenuhnya. Berikut adalah fakta mengenai otak yang dapat memberi petunjuk mengenai keupayaannya dan kehebatannya.
 
Otak mempunyai keupayaan untuk menyembuh kerosakan selepas serangan angin ahmar. Walaupun sel yang terkena angin ahmar biasanya mati, jaringan antara sel yang tidak rosak berupaya terus hidup melintasi kawasan yang rosak.
 
Melalui cara ini otak berupaya mengubati diri sendiri dan boleh mengembalikan fungsi yang hilang sebaik saja terkena angin ahmar. Otak adalah organ manusia paling cepat berkembang. Dalam proses pembentukannya, lebih daripada satu perempat juta sel tumbuh pada setiap minit.
 
Selepas anak dilahirkan, pertumbuhan pesat otak berterusan. Ketika anak berusia dua tahun, saiz otaknya hampir sama dengan otak orang dewasa. Otak berupaya mengubah suai hampir semua fungsi badan.
 
Tekanan jantung boleh diperlahankan, dubur beristirahat, injap darah terbuka atau tertutup, hanya melalui lintasan pemikiran. Apabila kita memikirkan kehangatan, suhu pada hujung jari kita akan naik lebih daripada satu darjah celsius.
 
Mendakap bayi boleh menggalakkannya membesar. Belaian fizikal menyebabkan otak bayi menghasilkan bahan kimia yang dipanggil ‘dopamine’ yang kemudian mengeluarkan hormon pembesaran. Bayi yang kurang belaian fizikal lambat membesar dari segi fizikal dan psikologikal.
 
Dalam proses menimbulkan selera otak berupaya menyesuaikan antara input kalori menjadi output tenaga. Biasanya bahagian otak yang berfungsi untuk mengawal kemasukan makanan mengalami bebanan dengan dorongan nafsu makan.
 
Bagaimanapun, otak hanya menimbulkan rasa lapar apabila glukos turun di bawah paras minimum. Oleh itu, berat badan manusia biasanya akan berubah kurang daripada lima peratus ketika kehidupan dewasa.
 
Otak secara tekal memantau semua yang berlaku di setiap permukaan badan, otot dan sendi. Melalui cara ini, otak sentiasa mengesan permulaan dan akhir sesuatu aktiviti, menyenggara keseimbangan, automasi dan merancang pergerakan fizikal.
 
Semua input ini rekodkan secara bawah sedar. Bagaimanapun apabila fungsi otak terhenti, jasad akan lumpuh.
 
Wujud lebih banyak sambungan antara sel dalam suatu otak berbanding semua atom yang ada di seluruh dunia. Otak mempunyai lebih kurang 100 bilion neuron, dan setiap neuron mempunyai sehingga seribu sambungan (docking points) yang berhubungan antara satu sama lain.
 
Jika semua sambungan ini berlaku, kemungkinannya boleh wujud 100 ribu bilion sambungan pertukaran maklumat. Pada kebiasaannya, hanya sebahagian kecil daripada sambungan yang terbentuk kerana hanya sebahagian kecil potensi otak digunakan.
 
Ketika bayi dilahirkan, otak ibu dibanjiri hormon yang membantu membina hubungan ibu anak dan melupakan memori mengenai kesakitan. Melahirkan anak amat menyakitkan sehingga sebahagian daripada wanita tidak mahu mengalaminya lagi.
 
Bagaimanapun, sebahagian besar daripadanya menginginkannya semula. Satu daripada sebabnya ialah sebahagian memori mengenai kesakitan sudah terhapus oleh hormon oxytocin dan meninggalkan hanya memori intelektual (lebih daripada emosional) mengenai kesakitan dialami.
 
Otak atau minda yang gembira atau positif boleh membantu menentang infeksi. Sistem imun badan manusia bertindak balas secara langsung dengan perubahan pada otak. Peristiwa sedih, seperti kehilangan orang yang disayangi, boleh menyebabkan pengurangan imun yang boleh diukur dalam bilangan ‘infection-fighting’ sel darah dalam tempoh empat hari.
 
Setiap otak berbeza dan ada dua otak yang serupa. Otak terlalu sensitif dengan persekitarannya dan walaupun dua orang kembar, mereka mempunyai perbezaan ketara dalam struktur otak ketika dilahirkan. Ini kerana perbezaan beberapa minit stimuli nutrien dan sensori yang dilalui oleh setiap janin.
 
Otak adalah sebahagian daripada sistem saraf pusat yang terdiri daripada himpunan tisu berwarna kelabu-merah jambu yang mengandungi lebih kurang 100 bilion sel saraf (neuron), yang berhubung antara satu sama lain.
 
Ia beroperasi sebagai pengawal fungsi mental manusia, mengawal imbangan semua sistem badan dan pada masa sama menyerap dan belajar secara berterusan melalui pemikiran, perasaan dan memori.
 
Otak manusia yang berat puratanya 1.36 kilogram juga adalah pusat kawalan bagi pergerakan, tidur, rasa lapar, haus dan setiap aktiviti manusia untuk meneruskan kelangsungan hidupnya. Otak juga mengawal hal yang berkaitan dengan emosi seperti cinta, benci, agresif dan takut.
 
Otak juga menerima dan menterjemah isyarat yang tidak terkira jumlahnya yang diperoleh melalui pelbagai deria dan persekitaran luar. Bagaimanapun, selepas kajian, analisis dan pemikiran dalam tempoh berabad lamanya, manusia masih tidak mengetahui semua perkara mengenai otak, malah apabila menemui sesuatu yang baru, semakin banyak lagi yang menjadi tanda tanya mengenainya. STOP.
 
Sumber: Berita Harian, 22 Disember 2007.
Advertisements

2 Comments »

  1. […] kebersihan hati agar badan menjadi sihat. Apabila badan sihat maka otak menjadi cergas. Bila otak cergas maka minda berfikiran waras dan […]

  2. […] Otak yang sihat juga berupaya membantu meningkatkan sistem daya tahan badan. […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: