December 27, 2007

Zakat membina jati diri luar biasa

Posted in Uncategorized tagged , , , , , , , , , , , at 5:57 am by kamilan

MEMANDANGKAN zakat dikaitkan dengan perkataan nisab (kadar minimum harta tertentu) dan sempurna haul (sudah genap setahun Hijrah). Justeru itu, zakat boleh dijadikan pengukur kejayaan tahunan seseorang.

Keupayaan membayar zakat merupakan kejayaan menjalinkan hubungan dengan manusia lain.

Dengan menghayati keperluan membayar zakat yang merupakan rukun Islam yang ketiga. Begitu juga dengan adanya kesungguhan dan tekad serta niat untuk melaksanakan kedua-dua jenis zakat iaitu zakat fitrah dan zakat harta benda pada setiap tahun. Secara tidak langsung kaedah bekerja dipertingkatkan di samping menggunakan sistem pengurusan harta yang terbaik (world class assets management) supaya produktiviti akan terus meningkat.

Orang yang “berjiwa besar” dan merdeka serta yakin dengan janji-janji Allah SWT maka tidak memandang remeh untuk mengeluarkan zakat. Malah akan merasa satu kepuasan selepas berjaya melaksanakan tuntutan zakat pada setiap tahun. Kesedihan akan terasa apabila kegagalan mengeluarkan zakat pada tahun tersebut.

Pengertian zakat menurut Prof. Dr. Hamka ialah: “Zakat ertinya ialah pembersihan, iaitu pembersihan harta daripada dakinya dan pembersihan jiwa daripada penyakit bakhil yang asalnya daripada sifat egoistis, mementingkan diri sendiri yang menyangka dengan bakhil itu kekayaan terpelihara, padahal dia jatuh miskin kerana kedudukannya dalam masyarakat tidak terhormat lagi. Zakat adalah pengorbanan yang tidak boleh tidak untuk masyarakat. Siapa yang bertambah tinggi jiwanya boleh ditambahnya dengan sedekah sunat, derma, wakaf, hadiah dan hibah. Seumpama shalat, yang wajib ialah lima waktu, dan siapa yang ingin lebih utama, boleh tambah dengan shalat sunnat lainnya. Berapa suka dan sanggup.”

Barang siapa yang dapat membersihkan kebakhilan dirinya iaitu, itulah orang yang beroleh keberuntungan.” (Quran 59 ayat 9).

Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, adalah seumpama suatu biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, satu tangkai menumbuhkan 100 buah dan Allah akan melipatgandakan lagi untuk siapa yang dikehendaki-Nya.” (QS 2 ayat 261).

Jikalau kamu bersyukur, demi akan Aku tambah harta itu. Tetapi jika kamu ingkar, sesungguhnya azab-Ku itu amat sangat.” (QS 14 ayat 7).

Perumpamaan orang yang menafkahkan harta mereka, kerana mengharapkan wajah Allah dan untuk meneguhkan hati mereka sendiri, adalah laksana kebun di tanah subur, datang hujan lebat, maka timbullah buahnya dua kali ganda. Jika pun hujan tak turun, maka dia pun subur juga.” (QS 2 ayat 265).

Menurut Prof. Dr. Hamka lagi , terdapat perbezaan teori Komunis dengan Islam mengenai harta. Dalam Komunis; “Harta kepunyaan bersama, hasilnya untuk sendiri-sendiri.” Di dalam Islam; “Harta kepunyaan sendiri, hasilnya dinikmati bersama-sama.

Imam Hasan al-Banna pula membicarakan mengenai zakat, “Zakat menjadi asas kepada amalan yang baik, memperbetulkan fitrah yang tamak, mendidik jiwa pemurah, melatih manusia supaya berniat baik, menyemai sifat penyayang dalam hati, mengajak manusia supaya bersatu-padu, menghapuskan kekangan dan sifat dengki, menyemai semangat kerjasama, saling bantu-membantu melakukan kebajikan, menjauhkan punca kejahatan, memadamkan keinginan memberontak dan keadaan yang tidak stabil. Setiap individu yang melakukan sesuatu yang baik pasti akan disayangi. Orang yang berbuat baik akan dibalas baik.”

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang kehabisan perbelanjaannya) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (al-Taubah: 60).

Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.” (al-Haj: 78).

Dengan membayar zakat akan dapat keberkatan daripada Allah SWT.

Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.” (Maryam: 31). 

Allah SWT amat menyukai orang-orang yang sentiasa berkasih-sayang, membantu sesama manusia dan memberi manfaat kepada seluruh alam. “Belanjakanlah hartamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik.” (al-Baqarah: 195).

“Berkat pada hakikatnya adalah subjektif sifatnya. Ia tidak nampak oleh mata kasar namun dapat dirasai oleh mereka yang dipilih Allah SWT. Namun, kehadiran berkat dapat disaksikan oleh mata. Sebagai contoh, apabila rumah tangga yang dibina aman damai, isteri menghormati suami, anak-anak mematuhi ibu bapa dan suami sendiri menjadi suami mithali, adalah petanda keberkatan. Petunjuk lain, ialah apabila rezeki dikurniakan Allah sentiasa mencukupi, tidak terjadinya banyak masalah dalam kehidupan, urusan seharian dimudahkan Allah dan sebagainya lagi adalah indikator keberkatan hidup mungkin telah dikurniakan Allah SWT.” Begitulah huraian mengenai berkat menurut Hamizul Abdul Hamid yang merupakan pegawai perhubungan awam di Lembaga Zakat Selangor (LZS). Dalam ruangan Mega, artikelnya bertajuk “Berkat zakat mudah diperoleh tapi sukar ditunaikan.” Utusan Malaysia. Isnin 24 Disember 2007. (14 Zulhijah 1428).

Jom membayar zakat! Zakat yang ditunaikan sebelum 31 Disember adalah layak mendapatkan rebat cukai pendapatan. Akta Cukai Pendapatan 1967 Seksyen 6A(3). “Rebet hendaklah diberikan pada tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu, dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis”. Maklumat lain mengenai zakat boleh dilayari di laman e-zakat.

Rujukan:

Prof. Dato’ Dr. Haron Din, Dato’ Abu Hasan Din & Ishak Din. (2007). Menjawab Persoalan Fikah Harian. PTS Millennia Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. 311 pp.

Prof. Dr. Hamka. (2007). Lembaga Hidup – Perhiasan Insan Gemilang. Pustaka Dini, Shah Alam, Selangor. 412 pp.

Pustaka Salam. (2003). Zakat. Dalam Himpunan Risalah Imam Hasan Al-Banna. Pustaka Salam Sdn. Bhd. pp. (490-495).

[Coretan ini telah disempurnakan pada 27 Disember 2007 bersamaan 17 Zulhijjah 1428. Blog telaten”.]

Advertisements

1 Comment »

  1. […] tahun, Effectiveness dan Efficiency tidak lupa untuk membayar zakat pendapatannya. Mereka berdua dalam mesyuarat juga mengarahkan bahagian kewangannya supaya segera menilai […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: